animasi bergerak gif

Saturday, 20 May 2017

LAPORAN ALAT BANTU MENGAJAR



1.0  DEFINISI BAHAN BANTU MENGAJAR

Bahan Bantu Mengajar (BBM) ialah segala kelengkapan yang digunakan oleh guru atau murid untuk membantunya dalam menyampaikan pengajaran di dalam kelas bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. Bahan yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran tidak hanya terhad kepada buku-buku teks dan buku latihan sahaja, tetapi ia merangkumi segala benda yang digunakan pelajar dalam pengajaran yang melibatkan semua pancaindera melihat, mendengar, rasa, hidu dan sebagainya. Bahan bantu mengajar ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu bahan bantu mengajar bukan elektronik, bahan bantu mengajar berbentuk elektronik dan bahan bantu mengajar yang bercorak pengalaman dan bahan sebenar daripada alam sekitar. 
             Bahan Bantu Mengajar bukan elektronik merupakan bahan yang asal seperti papan tulteks dan papan pamer. Bahan bantu mengajar bukan elektronik sebenarnya merupakan salah satu BBM yang paling banyak dan paling mudah dibawa. Bahan Bantu Mengajar tersebut seperti buku rujukan, grafik model, papan pengajaran, gambar, carta, grafik, model, surat khabar, lukisan, majallah, risalah, nota-nota, kertas kerja, skrip, fail tegak, bingkai carta pusing, kad imbasan, kad cantuman, peta, globe, boneka, diorama, bahan-bahan permainan seperti shahibba, carta dan sebagainya. Manakala bahan bantu mengajar berbentuk eleotronik ialah Seperti filem tayangan, filem jalur, filem slaid, OHP, projektor LCD, pita video, pita rakaman ,piring hitam , kad audio, lutsinar OHP, TV atau VCR, cakera padat audio, komputer, internet dan disket computer. Akhir sekali ialah bahan bercorak pengalaman dan bahan sebenar daripada alam sekitar seperti lakonan, pantomin, lawatan dan projek pameran.
            Bahan bantu mengajar adalah salah satu faktor yang menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran. Bahan bantu mengajar ini memberikan rangsangan kepada para pelajar untuk lebih bersemangat dan teruja mengetahui sesuatu perkara dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar PdP menjadi satu proses yang menarik dan tidak membosankan pelajar. Menurut Noraziah Abdul Hamid (1982:2) , alat bantu mengajar mestilah dianggap sebagai satu bahagian yang padu dalam proses PdP. Ia bertujuan untuk melancarkan proses PdP (pengajaran dan pembelajaran) serta hubungan antara guru dan murid di samping mempercepatkan proses pemahaman pelajar terhadap pembelajaran pada hari itu.
Matlamat di atas bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Hal ini demikian kerana, ia memerlukan kesungguhan, kebijaksanaan dan ketabahan kedua belah pihak iaitu guru dan pejar itu sendiri. Bahan bantu mengajar yang kreatif, cantik dan menarik dapat membantu keberkesanan proses pembelajaran di bilik darjah.
2.0  JENIS-JENIS BAHAN BANTU MENGAJAR
Bahan Bantu Mengajar ataupun lebih dikenali sebagai BBM mempunyai peranan yang sangat penting untuk seorang guru gunakan semasa proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Bahan bantu mengajar merupakan alat ataupun media yang digunakan dalam PdP seseorang guru yang bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan peyampaian isi pelajaran. Penggunaan BBM yang menarik dan terbaru dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang seronok serta berkesan. Bahan bantu mengajar merangkumi semua benda yang boleh dilihat, didengar, dipegang, dibaca, dikisahkan, dirasai, dihidu dan digunakan. Bahan bantu mengajar ini mempunyai tiga kategori iaitu 
  •    Bahan bantu mengajar bukan elektronik
  •   Bahan bantu mengajar berbentuk elektronik 
  •  Bahan bantu mengajar bercorak pengalaman
Manakala jenis bahan bantu mengajar terdapat dua iaitu Tradisional dan Moden. Bahan bantu mengajar tradisional adalah seperti : 
  • Papan hitam atau papan putih 
  • Kertas Mahjong
  •  Kad manila
  •  Konkrit (3 Dimensi)
  •   Bahan bacaan (Buku, Majalah, Surat Khabar dan sebagainya)                
Moden :
                                            i.            Elektronik (Radio, Televisyen dan sebagainya)
                                          ii.            Komputer (Teknologi Maklumat)
                                        iii.            Buku Elektronik (Flip Book, E-Book)
                                        iv.            Powerpoint dan Prezi
                                          v.            Video
                                        vi.            Website (Blogspot, WordPress)   

 2.1  Bahan Bantu Mengajar Bukan Elektronik
                                i.            Papan tulis atau papan putih, merupakan bahan asas dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ia juga diguakan untuk mencatat isi-isi pelajaran ketika mengajar.
                              ii.            Buku teks, adalah hasil khusus oleh beberapa penulis. Buku teks digunakan secara meluas dan merupakan sumber utama pengajaran dan latihan.
                            iii.            Papan pamer juga dikenali sebagai papan buletin yang merupakan sumber pengajaran yang produktif. Papan pamer dapat memperkenalkan idea baharu, memberi maklumat, memberi kefahaman, memperkayakan perbendaharaan kata, merangsang perbincangan, menimbulkan daya kreativiti, membentuk sikap dan nilai serta menambah pengekalan pembelajaran.
                            iv.            Fail tegak dan bahan bacaan, adalah terdiri daripada bahan-bahan bercetak iaitu bahan bacaan bukan buku. Sebagai contoh majalah, calendar, poskad, surat khabar, risalah atau buletin, poster, carta, peta, gambar skrip dan lain-lain. Fail tegak boleh disimpan sebagai koleksi fail dalam kabinet fail. Bukan itu sahaja, fail tegak juga dapat menambah dan mempelbagaikan bahan-bahan bacaan dan punca rujukan dalam pusat sumber sekolah atau bilik darjah.
                              v.            Gambar pula digunakan untuk memulakan pengajaran bagi menarik minay pelajar ataupun jika bahan sebenar sukar dibawa ke dalam bilik darjah.
                            vi.            Kad imbasan atau kad cantuman, terdiri daripada kata-kata atau rangkai kata. Kad imbasan adalah bertujuan untuk memperkenalkan perkataan-perkataan baharu, namun hanya sesuai kepada pelajar-pelajar peringkat rendah.
                          vii.            Carta, merupakan maklumat sistematik yang mengandungi huruf, angka, gambar, jadual, gambar rajah, lakaran, nota ringkas, rangkai kata dan lukisan. Terdapat beberapa jenis carta yag digunakan dalam bilik darjah seperti carta flip, carta pusing, carta aliran, carta graf dan carta pai.
                        viii.            Grafik merupakan bahan yang dilukis sebagai karangan visual yang dapat memberi satu atau lebih keterangan visual.grafik juga dapat meningkatkan prestasi pengajaran dan pemahaman pelajarannya.
                            ix.          Model adalah bahan gentian yang menyerupai bahan sebenar dan bahan tiga dimensi yang mewakili bentuk atau bagaimana sesuatu itu berfungsi. Model boleh diperbuat daripada kertas, tanah liat, simen, habuk kayu, styrafoam atau plaster.
                              x.       Boneka, adalah berbentuk seperti orang, binatang ataupun tumbuh-tumbuhan. Boneka digunakan dalam pengajaran bercerita atau berdialog. Boneka juga boleh diperbuat daripada kain, kapas, tanah liat dan kertas rendaman.
                            xi.        Diorama merupakan reka bentuk gabungan bahan-bahan sebenar, patung dan model diletakkan pada satu susunan kedudukan seperti keadaan sebenar tetapi dalam skala yang dikecilkan dalam persembahan tiga dimensi. 

2.2 Bahan Bantu Mengajar berbentuk elektronik
                            i.            Overhead Projector (OHP) digunakan untuk penyampaian taklimat dan pengajaran kaedah kuliah. Jumlah dan mutu maklumat yang ditulis sangat mempengaruhi keberkesanan trasperansi.
                              ii.            Trasparensi dilakukan melalui beberapa kaedah seperti kaedah tetingkap, kaedah  singkapan, kaedah tindihan, kaedah pusing, kaedah urutan dan kaedah tampalan. Trasparansi boleh disediakan dalam bentuk warna supaya memberi penegasan dan menarik perhatian.
                            iii.            Pita slaid adalah sejenis media tanpa gerak yang merupakan sejenis trasparensi positif berukuran kecil. Ia juga sering digunakan dalam pengajaran sains terutamanya dalam mata pelajaran Biologi. Pita slaid dapat menggambarkan keadaan sebenar dan membawa situasi luar ke dalam kelas.
                          iv.            Radio sesuai untuk pengajaran bahasa. Siaran-siaran radio pendidikan yang mengikut sukatan pelajaran boleh digunakan.
                                    v.            Televisyen dan VCR pula dapat menggalakkan pelajar-pelajar menggunakan deria pandang dan dengar. Televisyen juga dapat memodenkan pendekatan guru-guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan.
                                   vi.            Filem tayangan atau filem jalur dapat memberi pandangan yang jelas mengenai sesuatu perkara melalui deria penglihatan dan pendengaran. Bahan tayangan boleh berbentuk cerita, lakonan ataupun berbentuk dokumentari.
                                                  vii.            Komputer boleh diprogramkan untuk mengajar yang dapat menggabungkan teks, suara, muzik, grafik, dan animasi sebagai bahan pengajaran.
                                         
2.3  Bahan bantu mengajar bercorak pengalaman dan bahan sebenar dari alam sekitar
Bahan-bahan bercorak pengalaman adalah seperti lakonan, lawatan, pantomin dan projek pameran. Melalui aktiviti tersebut guru dapat mengekalkan keberkesanan pengetahuan dan pemahaman kerana penglibatan pelajar-pelajar secara langsung. Penggunaan bahan daripada alam sekitar atau ‘relia’ yang dikelaskan sebagai bahan tiga dimensi. Relia terbahagi kepada beberapa kelompok, iaitu :
                                                        i.            Bahan bukan hidup seperti batu, tanah, pasir, air, logam dan sebagainya
                                                      ii.            Bahan buatan seperti kerusi, jam, permainan dan sebagainya
                                                    iii.            Tumbuhan seperti rumput, paku pakis, bunga dan sebagainya
                                                    iv.            Benda hidup seperti ikan, katak, nyamuk, rama-rama dan sebagainya
Kelebihan daripada penggunaan bahan relia ini adalah pelajar dapat melihat secara nyata dan semula jadi.
3.0  KEBAIKAN BAHAN BANTU MENGAJAR
Bahan bantuan mengajar sememangnya amat membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Antara kebaikan yang diperoleh dengan menggunakan Bahan Bantuan Mengajar (BBM) ialah ia dapat memudahkan pelajar memahami sesuatu konsep yang hendak dijelaskan dalam proses pengajaran. Bahan bantu mengajar merupakan instrument penting dalam mempertingkatkan pemahaman pelajar terutama pelajar yang lemah dalam sesuatu subjek. Seterusnya, bahan bantu mengajar juga memainkan peranan dalam menarik minat pelajar untuk mempelajari sesuatu subjek. Hal ini demikian kerana, bahan bantu mengajar tersebut dapat merangsang daya pemikiran pelajar.
Mutu pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru dan pelajar juga dapat dipertingkat menerusi alat bahan bantu mengajar yang kreatif. Noor Azlan dan Nurdalina (2010) juga berpendapat bahawa bahan bantu mengajar dapat menyelesaikan pelbagai kaedah pengajaran guru yang sentiasa brubah mengikut peredaran zaman. Perkara ini dapat dilihat dalam proses pengajaran dan pembelajaran seorang guru. Oleh itu, setiap guru perlulah mempunyai kemahiran dalam menggunakan bahan bantu mengajar agar kesan yang terbaik dalam mutu pengajaran guru tentang pemahaman sesuatu konsep dapat diwujudkan.  Menurut Finkbeiner (2001), terdapat tiga komponen utama yang harus ada dalam pengajaran bahasa yang berbantukan BBM iaitu komputer, bahasa dan pembelajaran.
Di samping itu, penggunaan bahan bantuan mengajar dapat mencetuskan minat pelajar kerana ia cukup merupakan sesuatu yang kreatif dan menjadi penggalak dalam penyampaian pelajaran. Noor Azlan dan Nuradlina (2010) menyatakan jika bahan bantu mengajar digunakan dengan teratur semasa memberikan penerangan, maka pengajaran tersebut akan mencetuskan minat pelajar dalam proses pembelajaran. Bahan bantu mengajar juga dapat mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Norma (2004) juga berpendapat bahawa penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dapat mendorong minat pelajar untuk melalui proses pembelajaran yang menyeronokkan. Sekiranya pembelajaran ini dapat berjalan dengan lancar, sudah pasti objektif pembelajaran seperti yang dirancang akan dicapai oleh setiap guru
Penggunaan bahan bantuan mengajar juga bukan sahaja digunakn untuk menarik minat pelajar, malahan turut dijadikan sebagai satu kaedah untuk menghasilkan pembelajaran yang menarik dan efektif. Oleh itu, penggunaan bahan bantu mengajar amat penting dalam proses pengajaran kerana ia dapat membantu guru menyampaikan pengajaran dengan cara mudah, cepat dan berkesan.
Seterusnya, alat bantuan mengajar dapat memberi manfaat dari aspek pengalaman pancaindera. Norma (2004) menyatakan penggunaan bahan bantu mengajar dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pengetahuan melalui pelbagai deria seperti deria penglihatan, deria pendengaran dan deria sentuh. Saridah (2006) pula menyatakan bahan bantu mengajar bagi sesuatu subjek seperti perisian multimedia dapatmenyokong pembelajaran kendiri. Melalui perisian multimedia yang disediakan, para pelajar dapat memilih maklumat yang disukai mengikut kebolehan masing-masing. Mereka dapat memilih masa, kandungan serta hala tuju pembelajaran dengan kadar yang cepat. Bagi topik yang agak sukar difahami pula, pelajar dapat mengulangi proses pembelajaran berkenaan topik tersebut secara berulang kali.
Rohana Zubir (1987) mengatakan bahawa bahan pengajaran dan pembelajaran dapat menimbulkan minat dan kesungguhan di kalangan pelajar. Penggunaan bahan bantu mengajar yang kerap digunakan dapat meningkatkan prestasi pelajar seterusnya meningkatkan kecemerlangan dalam peperiksaan. Bahan bantu mengajar juga dapat membekalkan dasar perkembangan pembelajaran dan menjadikan pembelajran mereka lebih kekal.
4.0  KELEMAHAN BAHAN BANTU MENGAJAR
Bahan bantu mengajar (BBM) merupakan satu bahan yang digunakan oleh guru dalam melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Tujuan utama Bahan bantu mengajar (BBM) adalah untuk menutup sebahagian kelemahan yang terdapat dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta menyampaikan input pembelajaran kepada pelajar dalam pelbagai kaedah dan teknik yang berkesan.
Meskipun bahan bantu mengajar mempunyai manfaat dan kebaikan yang tersendiri kepada guru dan pelajar, namun bahan bantuan mengajar (BBM) juga mempunyai kelemahan dan keburukan terhadap beberapa perkara. Kelemahan BBM adalah disebakan beberapa perkara yang mengakibatkan fungsi penggunaan BBM menjadi kurang berkesan.
Antaranya ialah kurangnya kemahiran guru dalam memilih bahan bantu mengajar (BBM) yang sesuai. Guru seharusnya lebih memahami dan menguasai teknik- teknik yang digunakan dalam penghasilan alat bantu mengajar tersebut. Jika seseorang guru kurang menguasai kemahiran memilih BBM, maka para pelajar pastinya sukar mendapat input atau maklumat pengetahuan dalam pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.
Selain itu, kesukaran dalam penyediaan bahan bantu mengajar (BBM) yang seharusnya dikendalikan oleh guru- guru. Sebagai contoh, kurangnya alat pelaksanaan, bahan atau rujukan dalam penyediaan bahan mengajar. Kesukaran ini pastinya memberi kesan kepada kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah kerana keperluan masa telah mempengaruhi guru dalam menyediakan BBM ini.
Akhir sekali, faktor pelaksanaan yang tidak sistematik dan tidak dirancang secara rapi oleh guru adalah antara kelemahan dalam penyediaan alat bantu mengajar. Perkara yang seharusnya diambil perhatian adalah alat bantu mengajar adalah alat yang digunakan sebagai sokongan atau tambahan dalam sesi pembelajaran dan bukan sebagai pengganti peranan guru sepenuhnya. Oleh itu, pelaksanaan BBM perlu dikawal supaya tidak tertakluk hanya pada peranannya sahaja dan mengurangkan tugas guru sebagai pelaksana BBM.
5.0  MENGAPA BAHAN BANTU MENGAJAR DIPERLUKAN
Bahan Bantu Mengajar ialah alat yang dapat membantu seseorang guru dalam proses pengajaran. Bahan  mengajar ini tidak terhad kepada buku teks, papan tulis dan gambar-gambar sahaja tetapi juga merangkumi segala benda yang digunakan dalam pelajaran yang dapat dilihat, didengar, dipegang, dibaca, dihidu, dipegang dan sebagainya. Bahan mengajar merupakan apa-apa sahaja yang dialami oleh murid. (Kamruddin Hj. Hussin, 1986).
Dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang berkesan, Bahan Bantu Mengajar (BBM) amat penting bagi guru untuk memastikan proses pengajarannya dapat berjalan dengan lancar. Hal ini demikian kerana isi pengajaran yang disampaikan dapat diikuti dengan baik oleh murid dengan bantuan Bahan Bantu Mengajar (BBM). Berikut adalah antara tujuan dan sebab Bahan Bantu Mengajar diperlukan:
1.      Mempertingkatkan minat murid dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
2.      Dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar
3.      Murid dapat memahami tajuk yang dipelajari dengan lebih mendalam.
4.      Murid dapat mengingati input yang diajar dengan jangka masa yang lebih lama.
5.      Menimbulkan perasaan seronok dalam diri pelajar dan menghilangkan perasaan jemu terhadap pengajaran guru.
6.      Bahan yang dipersembahkan kepada murid dapat melahirkan dorongan gaya kreativiti dalam guru dan juga kepada pelajar.
7.      Dapat menjimatkan masa pengajaran dan pembelajaran
8.      Melahirkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan
Bahan Bantu Mengajar (BBM) dapat meningkatkan minat murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian kerana BBM yang dipersembahkan adalah dalam bentuk yang ringkas dan menarik. Oleh itu, pelajar akan mudah tertarik dengan pengajaran yang disampaikan dan seterusnya dapat meningkatkan minat murid dalam proses PdP tersebut.
Tujuan yang seterusnya ialah BBM dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar. Hal ini demikian kerana BBM yang dipersembahkan dalam bentuk ‘PowerPoint’ akan dapat membantu mengisi masa kelas yang ketiadaan guru. Contohnya, mata pelajaran seperti Sains dalam bab-bab tertentu yang dibuat dalam bentuk ‘PowerPoint’ boleh ditunjukkan di dalam kelas. Dalam ‘PowerPoint’ itu juga, guru harus memasukkan kerja-kerja yang murid harus lakukan. Secara tidak langsung, kelas akan menjadi lebih terkawal kerana murid mempunyai sesuatu yang perlu dilakukan.
Tujuan yang seterusnya ialah murid dapat memahami tajuk dengan lebih mendalam. dengan penggunaan BBM, murid dapat mengetahui fokus yang ingin disampaikan oleh guru. Kemudian, mereka boleh memahami tajuk yang disampaikan dengan lebih mendalam.
BBM juga membolehkan murid untuk mengingati input yang diajar dengan jangka masa yang lebih lama. Hal ini demikian kerana otak manusia dapat menangkap imej atau objek yang menarik dan berwarna-warni dan menyimpannya dengan lebih lama dari yang biasa. Oleh itu, murid akan mengingati apa yang diajar dengan jangka masa yang lebih lama. Mereka juga akan berasa seronok untuk belajar dan dapat menghilangkan perasaan jemu terhadap pengajaran guru.
BBM juga sering dipersembahkan dalam gaya yang menarik. Hal ini akan dapat membina daya kreativiti dalam diri pelajar dan juga guru. Selain itu, Bjuga dapat menjimatkan banyak masa berbanding cara pembelajaran biasa. Hal ini demikian kerana satu topik itu dapat dipersembahkan dalam satu BM sahaja. Jadi, murid akan cepat mempelajari dan memahami topik tersebut.
Akhirnya, sebab BBM ini diperlukan adalah kerana BBM dapat menghasilkan dan memastikan proses pengajaran dan pembelajaran adalah berkesan. Disebabkan murid cepat menerima input yang diajar, keadaan proses ini juga kondusif dan selesa menyebabkan murid lebih fokus dan proses PdP juga akan berjalan lancar.

No comments:

Post a Comment